Saturday, April 23, 2011

Yakinilah Janji Allah Bahawa Setiap Manusia Telah Ada Rezeki Untuknya





Yakinilah Janji Allah Bahawa Setiap Manusia
Telah Ada Rezeki Untuknya
Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi
Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta
salam buat junjungan mulia Nabi
Muhammad S.A.W. keluarga serta para
sahabat dan pengikut yang istiqamah
menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah, Setiap kali
kita menghadapi makanan dan minuman,
kita berdoa kepada Allah agar di berikan
barakah dari rezeki yang akan kita santapi.
Setiap kanak-kanak muslim juga di didik
sejak dari tadika lagi untuk berdoa sebelum
makan. Barakah dari rezeki itulah yang kita
hajatkan. Setiap manusia menghabiskan
sebahagian besar dari waktu dan umur
untuk mencari rezeki. Berusaha mencari
rezeki, apabila ikhlas niat dan dilaksanakan
dengan mengikut jalan-jalan yang halal
adalah ibadah kepada Allah. Dalam mencari
rezeki juga , dapat menguatkan akidah
seorang muslim, Allah S.W.T. adalah
pemberi rezeki. Salah satu nama Allah
adalah al-Razzak … iaitu Pemberi Rezeki.
Banyak perkara di dunia ini dipermudahkan
oleh Allah S.W.T. untuk manusia, agar di
gunakan dalam usaha mencari rezeki. Oleh
itu jangan sampai kita lupa kepada Allah
S.W.T. apabila kita telah mendapat nikmat
dari-Nya. Suatu hari Nabi Sulaiman a.s.
bertanya kepada seekor semut tentang
berapa banyak makanan yang
diperlukannya untuk hidup dalam setahun.
Semut menjawab, ia hanya perlukan
makanan sebesar sebutir gandum. Lalu
Nabi Sulaiman a.s. memasukkan semut
tersebut di dalam sebuah botol dengan di
letakkan bersamanya gula sebesar sebutir
gandum. Mulut botol itu kemudiannya
ditutup (diberi lubang sikit untuk udara
masuk ke dalamnya). Cukup tempuh
setahun, mulut botol itu pun dibuka semula
oleh Nabi Sulaiman a.s. Anehnya, baginda
dapati hanya separuh sahaja daripada gula
sebesar sebutir gandum itu yang habis
dimakan oleh semut tersebut. Nabi
Sulaiman bertanya, mengapa hanya
separuh makanan sahaja yang dihabiskan
sedangkan semut pernah berkata ia
perlukan makanan sebesar sebutir gandum?
Sang semut menjelaskan bahawa jika
diluar botol rezekinya dijamin sepenuhnya
oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan
mencukupkan rezekinya. Sebab itu dia tidak
perlu risau dengan hakikat itu. Tetapi
apabila dikurung oleh manusia (Nabi
Sulaiman a.s) dia mengambil langkah
berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana
tidak yakin dengan keprihatinan manusia.
Mana tahu kalau-kalau manusia itu terlupa
lalu mengurungnya terlebih daripada
tempoh satu tahun? Apa akan jadi padanya?
Pengajaran yang boleh di perolehi
daripada kisah ini adalah semut lebih yakin
jaminan rezeki daripada Allah S.W.T.
(bertawakal kepada Allah) ketika di luar
botol berbanding "jaminan" manusia ketika
berada di dalam botol. Untuk menghadapi
kemungkinan itulah ia mengambil langkah
berjimat cermat, supaya apabila berlaku
sesuatu di luar jangkaan dia masih mampu
bertahan. Masih ada makanan yang boleh
digunakan. Kenapa kita yang berada di
dunia ini yang mengaku beriman kepada
Allah S.W.T. tetapi masih ragu-ragu tentang
jaminan rezeki dari Allah S.W.T? Oleh itu
yakinilah dengan sepenuh hati bahawa
setiap anak yang lahir ke dunia, Allah S.W.T.
telah menjamin rezeki untuknya, samaada
ibu-bapanya merancang atau tidak
merancang untuk anak tersebut. Sahabat
yang dimuliakan, Setiap manusia yang
diciptakan oleh Allah S.W.T. telah ditetapkan
rezeki untuknya. sejak di dalam kandungan
ibunya lagi. Allah S.W.T. yang Maha
Pemurah dan Maha Penyayang telah
menjamin rezeki untuk semua makhluknya,
dari sekecil-kecilnya makhluk (kuman)
hinggalah sebesar-besarnya (ikan paus) dan
tidak dikurangkan sedikit pun daripadanya.
Manusia diminta untuk berusaha, berdoa
dan bertawakkal nescaya ia akan mendapat
dan memiliki rezeki yang telah disedaikan
oleh Allah S.W.T. dimuka bumi ini. Firman
Allah s.w.t.yang bermsksud : "Barangsiapa
yang bertakwa kepada Allah, maka Allah
akan menunjukkan kepadanya jalan keluar
dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki
dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan
barangsiapa yang bertawakal kepada Allah,
nescaya Allah mencukupkan
keperluannya." (Surah At-Talaq ayat 2-3)
Takwa adalah merupakan kriteria atau
ukuran sesaorang yang paling hampir
dengan Allah S.W.T. Sesiapa saja dikalangan
hamba-hamba Allah yang paling tinggi
takwanya maka dia adalah orang yang
paling mulia disisi Allah S.W.T. Orang yang
bertakwa adalah orang mukmin yang cukup
berhati-hati didalam menjalani kehidupan
didunia ini, amat takut kalau-kalau dia
terjerumus didalam kehidupan yang
mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T. Ia
bukan saja telah meninggalkan yang haram
dan melaksanakan yang wajib tetapi ia
telah meninggalkan perkara-perkara
syubhah dan makruh. Dalam amalan
ibadahnya diperbanyakkan amalan-amalan
sunat dalam rangka merapatkan lagi
hubungan dengan Allah S.W.T, malahan
semua yang harus pula di niatkan kerana
Allah supaya ianya menjadi ibadah. Allah
S.W.T. akan membantu orang-orang yang
bertakwa, segala kesusahannya,
kemiskinannya dan apa-apa saja
permasaalaan hidup yang dihadapinya,
akan terbentang luas jalan keluar diberikan
oleh Allah S.W.T. Bukan setakat ini saja,
malahan Allah S.W.T.akan memberikan
rezeki yang tiada disangka-sangka samaada
rezeki datang dari langit, bumi, lautan,
malahan yang jauh didekatkan, yang sedikit
diperbanyakkan dan yang banyak
dipermudahkan. Kadangkala seseorang
pernah bertanya pada diri sendiri, "Kenapa
rezekiku sempit? Buat berbagai usaha
tetapi masih gagal mencapai matlamatnya?
Berniaga merosot, puas aku berdoa dan
minta pertolongan Allah tetapi masih tidak
dimakbulkan-Nya?" Perlu di ingat bahawa
Allah S.W.T. Maha Mengetahui apa akan
berlaku kepada para hamba-Nya
dilambatkan permohonannya adalah untuk
kebaikan hambanya sendiri. Kerana
takwanya belum mantap, maka diuji lagi
supaya semakin banyak ia berusaha, berdoa
dan bertawakal maka akan melahirkan
hubungan yang erat hatinya dengan Allah
S.W.T. dan Dia ingin memberikan pahala
yang besar kepadanya diatas kesabarannya.
Oleh itu kita kena berbaik sangka dengan
Allah S.W.T. berdoa dan terus berdoa jangan
putus asa. Cepat atau lambat dikabulkan
doa kita adalah urusan Allah S.W.T. Abu
Hurairah r.a meriwayatkan bahawa
Rasulullah S.A.W. bersabda yang
bermaksud : "Allah S.W.T. berfirman, 'Aku
sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada
diri-Ku'." (Hadis RiwayatAl-Bukhari)
Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya :
"Janganlah kamu mati melainkan dalam
keadaan kamu berbaik sangka dengan
Allah." (Hadis Riwayat Muslim) Apakah
maksud berbaik sangka dengan Allah?
Berbaik sangka di sini adalah rasa takut dan
harap yang saling bergandingan, ataupun
rasa takut mengatasi rasa harap. Sahabat
yang dikasihi, Rasulullah S.A.W. pernah
bersabda yang bermaksud : "Jika sekiranya
kamu bertawakal kepada Allah dengan
sebenar-benar tawakal, pasti Allah akan
memberi rezeki kepadamu, seperti Dia
memberi rezeki kepada burung-burung
yang terbang di pagi hari dengan tembolok
kosong dan waktu pulang kesarangnya
pada waktu petang, temboloknya sudah
penuh." Orang-orang yang bertawakal
ialah mereka yang yakin dengan jaminan
rezeki daripada Allah S.W.T. dan mereka
akan mendapat balasan yang baik di akhirat
nanti. Kunci rezeki dan perbendaharaan
Allah S.W.T. hanya berada ditangan-Nya dan
Dia akan membuka pintu rezeki ini seluas-
luasnya kepada hamba-hamba-Nya yang
banyak beristighfar, bersedekah, sentiasa
berwuduk, menghubungkan silaturahim,
solat duha, solat tahajjud , berzikir dan
membaca al-Quran. Amalan-amalan soleh
ini jika diamalkan akan membina jambatan
hati kita dengan Allah S.W.T. dan apabila Dia
kasih dan sayang pada kita maka segala
permohonan dan doa kita dimakbulkan-Nya
dan di kurniakan rezeki di jalan yang tiada
disangka-sangka. Kesimpulannya, dalam
usaha mencari rezeki di atas dunia ini,
jangan sampai menjauhkan kita daripada
beribadah dan mangingati Allah. Oleh itu,
kita perlu bertawakal kepada Allah dengan
hakikat tawakal yang sebenarnya. Kita
mesti berusaha dan berikhtiar tetapi
meletakkan pergantungan sepenuhnya
kepada Allah. Kalau dapat apa yang kita
inginkan, bersyukurlah. Kalau sebaliknya,
bersabarlah dan berbaik sangka dengan
Allah. Yang penting, kita mesti tahu
meletakkan kepentingan antara dunia dan
akhirat. Jangan gadaikan akhirat dengan
habuan dunia yang sementara ini. Berusaha
dan berikhtiarlah, kerana ia sunnatullah.
Tetapi ingat, ia tidak akan dapat mengatasi
takdir Allah.
By: Abu Basyer